RSS

~aKu~

Andai aku mampu mencapai bulan
Akan kuberikan padamu.
Andai aku mampu memetik bintang
Akan kurantaikan pada lehermu.
Andai aku mampu mendinginkan mentari
Pastinya aku ingin melihatmu tenang.

Namun aku tidak sehebat itu
Hanya mampu mengungkap kata
Cuba mengotakan segala janji
Yang aku sendiri kurang pasti
Apakah aku mampu penuhinya.

Melihatmu ketawa
Aku terasa dunia ini milikku.
Terpandangkan wajah surammu,
Terasa carik hati ini.

Aku seorang anak
Yang semestinya ingin membahagiakan dirimu
Maafkan aku andai aku
Hanya mampu membuatmu menangis
Maafkan aku.

Kini
Aku masih terus melangkah
Menjernihkan sirna
Moga apa yang kau rasa dulu
Tidak lagi menjadi tusukan jarum tajam.

Moga cinta ini
Sentiasa di dalam redha ALLAH
Saat aku kehilangan kata
Saat aku tersungkur rebah
Saat diri terasa lemah
Hanya padaNYA yang Maha Mengerti
Aku bergantung harap.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~dengarilah sayang~


Dengarilah sayang,
Puisi khas untukmu yang lembut jiwanya.

Kau ibarat kuntum penyeri pagi,
Mekar disimbah embun semalam,
Kudupnya terlindung di balik kelopak segar,
Indah, namun sukar untuk disunting.

Malumu terletak,
Menjadi benteng sahsiah diri,
Langkahmu menunduk memandang tanah,
Mengenang asal-usulmu.

Tangismu kerana ALLAH,
Sujud taat menyembah yang ESA,
Di sepertiga malam yang hening,
Demi menagih cintaNYA yang agung.

Usah kau bersedih
Wahai sahabat tersayang,
Kerana kau sebenarnya
dilindungiNYA dengan sayap rahmat.

Bersyukurlah dan ucaplah hamdalah,
Kerana nur hidayah menusuk di kalbu,
Kau hamba terpilih,
Untuk merasai kasih sayangNYA.
Nikmat yang tidak terhingga .

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS